KOTA BHARU 28 April - RHB Islamic Bank yakin  produk pembiayaan pajak gadai Islamnya atau Ar-Rahnu mampu mencatatkan  jumlah transaksi sehingga RM20 juta pada akhir tahun ini, selepas lapan  bulan dilancarkan. 
  Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusannya, Abd. Rani Lebai Jaafar berkata, perkhidmatan Ar-Rahnu yang dimulakan di cawangan RHB  Islamic Bank Kubang Kerian di sini, berpotensi besar untuk dikembangkan  berikutan minat tinggi masyarakat tempatan menyimpan barangan kemas.  
  Beliau berkata, jumlah golongan yang bekerja sendiri, peniaga kecil  dan usahawan wanita yang ramai di negeri ini juga menjadi faktor kepada  produk ini diperkenalkan di sini bagi membolehkan mereka mendapatkan  pembiayaan alternatif dan modal. 
  Katanya, pajak gadai Ar-Rahnu itu akan diperluaskan ke cawangan lain  dengan sasaran awal ialah Kuala Terengganu, Terengganu; Bangi, Selangor  dan Kuching, Sarawak. 
  "Kelantan dipilih sebagai tapak awal produk Ar-Rahnu kami kerana  melihat kepada minat mendalam masyarakat negeri ini terutama golongan  wanita yang gemar menyimpan barang kemas.  
  "Pembiayaan Ar-Rahnu kami memberi peluang kepada mereka yang  kesempitan untuk mendapatkan keperluan tunai dan juga modal perniagaan  dengan pembiayaan sekurang-kurangnya RM100 sehingga RM50,000. 
  "Produk ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia berumur 18  tahun ke atas dengan tempoh gadaian antara enam bulan sehingga setahun," katanya selepas Majlis Pelancaran Produk Pembiayaan Pajak Gadai Islam  (Ar-Rahnu) dan Fiesta Perbankan Islam 2011 bank itu di sini, hari ini. 
  Hadir sama, Ketua Perbankan Transaksi RHB Islamic Bank, Tengku  Panglima Raja Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz; Pengarah Wilayah  Timur Kumpulan Perbankan RHB, Nazri Othman; Ketua Perbankan Runcit RHB  Islamic Bank, Zulkahairi Zabiri dan Pengurus RHB Islamic Bank Kubang  Kerian, Norliza Abdul Shukor. 
  Abd. Rani berkata, urus niaga pajak gadai Islam itu akan menggunakan  empat jenis konsep syariah iaitu Qardhul Hasan, Ar-Rahnu, Wadiah Yad  Dhomanah serta Al-Ujrah dan mereka menerima emas jenis 999, 950, 916,  875, 835 dan 750 untuk digadai. 
  Jelasnya, RHB Islamic Bank sehingga kini mempunyai 12 cawangan di  seluruh negara dengan lebih 250,000 pelanggan dan perkhidmatan perbankan berasaskan syariah itu turut disokong oleh 196 cawangan konvensional  Kumpulan Perbankan RHB lain. 
  Beliau berkata, RHB Islamic Bank mengunjurkan penambahan  cawangan-cawangan bank itu di negeri yang belum ditembusi seperti Kedah, Melaka, Perlis dan Pahang. 
  Source: http://www.utusanonline.com.my
 
No comments:
Post a Comment